KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary diingatkan agar menggunakan saluran yang betul apabila memberikan pendapat peribadi mengenai tarekat dan tasawuf.

Jurucakap Pondok-Pondok Semalaysia dan gabungan lebih 100 NGO, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali menjelaskan, ia berikutan dua perkara berkenaan disifatkan rumit apabila memperlihatkan golongan cendekiawan dan ulama berbeza pandangan.

"Setelah diputuskan bahawa tarekat ini dibenarkan untuk diamalkan, kalau ada pihak yang masih belum jelas dan belum berpuashati, maka gunakan saluran yang betul.

"Jangan bagi jawapan yang misleading dalam Dewan Negara, jangan buat kenyataan yang keras iaitu laknat Allah yang akan menimbulkan ketidakharmonian dan ketidakpercayaan kepada pihak berkuasa agama," katanya semasa program Agenda AWANI pada Selasa.

BACA : Dibenar amal Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani

Ahmad Marzuk didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang salah dan mengelirukan di dalam Dewan Negara pada 28 Mac lepas berhubung keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah (MKI) ke-117 yang telah dipersetujui oleh mufti-mufti.

Pada 2 April, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, Mesyuarat MKI ke-117 tidak membuat sebarang keputusan untuk meminda atau membatalkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 pada 2000, sebaliknya hanya membenarkan pengikut tarekat itu mengamalkannya selagi tidak bertentangan dengan akidah.

Susulan itu, pada 9 April, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa JAKIM tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI.

Engku Ahmad Fadzil menegaskan, Ahmad Marzuk perlu digantikan dengan individu yang lebih berwibawa susulan kenyataannya yang menimbulkan ketidakharmonian dan ketidakpercayaan terhadap pihak berkuasa agama di negara ini.

"Jadi kami cadangkan supaya YB Timbalan Menteri digantikan dengan tokoh yang lebih berwibawa, yang lebih faham dengan ahli sunnah waljamaah berbanding dengan ingin berkeras dengan pandangan serpihan yang kita tahu, tidak dapat tidak akan ada dalam masyarakat kita," ujarnya.

Jelasnya lagi, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang  membenarkan tarekat diamalkan di negara ini perlu menulis surat kepada MKI bagi memohon membentangkan data baharu yang belum dibentangkan sebelum ini.

"Namun, kalau kita masih lagi mahu mengulangi 'muzik' yang sama, maka orang tersebut tidak berfikiran luas dan cuba mengapi-apikan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," ujarnya lagi.

BACA: Polemik tarekat Tasawuf dan Timbalan Menteri Ahmad Marzuk: Apa yang kita tahu setakat ini...

BACA : Lebih 100 NGO serah memorandum kepada Istana Negara, minta Ahmad Marzuk digantikan