GUA MUSANG: Perjalanan mencabar ke kawasan pedalaman bukan penghalang bagi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memastikan Orang Asli di Pos Balar mendapat akses kepada perkhidmatan dokumentasi, sekali gus merealisasikan prinsip “Rakyat di Hati JPN”.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, tanggungjawab JPN bukan sekadar menyediakan perkhidmatan seperti mengeluarkan sijil kelahiran, tetapi turut memastikan amanah kepada rakyat dilaksanakan walaupun berdepan pelbagai kesukaran.
Beliau berkata, prinsip “Rakyat di Hati JPN” perlu diterjemahkan melalui kesungguhan petugas untuk memastikan perkhidmatan dapat disampaikan kepada masyarakat yang memerlukan tanpa menjadikan cabaran perjalanan sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab berkenaan.
“Jadi tugas kita bukan hanya menyediakan perkhidmatan, bukan sahaja bagi sijil lahir, tapi inilah amanah rakyat pada kita yang patut dilaksanakan walaupun susah itu ada pada kita. Jangan kita susahkan rakyat,” katanya, di sini, hari ini.
Badrul Hisham berkata demikian pada sesi pelepasan program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan.
Katanya, perjalanan ke Pos Balar, di sini dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga jam, namun tempoh itu boleh menjadi lebih panjang bergantung pada keadaan perjalanan.
Beliau turut berkongsi pengalaman bertugas di Pos Gob yang mengambil masa 12 hingga 14 jam, sekali gus menggambarkan cabaran yang perlu ditempuhi petugas ketika melaksanakan tanggungjawab di kawasan pedalaman.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, semua petugas diingatkan supaya mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan, selain memastikan setiap anggota mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Saya berharap semua petugas dapat menjalankan tanggungjawab dengan lancar serta kembali dengan selamat selepas menyelesaikan tugasan di Pos Balar," katanya.
Pergerakan ke Pos Balar itu melibatkan kerjasama JPN Kelantan, Pejabat JPN Gua Musang, pasukan kenderaan pacuan empat roda (4x4) serta pihak berkaitan yang akan bersama-sama menjayakan program selama dua hari berkenaan.
-- BERNAMA