PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang meneliti permohonan pindaan sijil lahir R. Tayalan @ Mohd Farid Abdullah yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Teluk Intan, Perak pada 2019 kerana tidak memiliki MyKad.

Dalam kenyataan hari ini, JPN mengesahkan bapa kandung Tayalan, 26, pernah hadir ke JPN Putrajaya untuk membuat permohonan pindaan sijil lahirnya dengan memasukkan maklumat ibu iaitu A. Mariamman pada Jun lepas.

Namun bagi tujuan pengesahan dan penilaian, Mariamman masih gagal hadir ke JPN dan gagal dikesan, kata jabatan itu.

"JPN memerlukan kerjasama kehadiran beliau untuk pertimbangan kemasukan nombor kad pengenalan beliau di dalam sijil kelahiran sabjek (Tayalan). JPN komited untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera," katanya.

Berdasarkan semakan, JPN berkata Tayalan hanya memiliki sijil kelahiran dengan maklumat warganegara belum ditentukan kerana ketika pendaftaran kelahiran dibuat tiada maklumat berkaitan ibu beliau.

Media sebelum ini melaporkan seorang bapa merayu agar anak lelakinya yang sudah empat tahun ditahan di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Teluk Intan atas alasan tiada MyKad, segera dibebaskan.

R. Rama Chandaran, 54, berkata Tayalan yang sudah memeluk Islam sejak berusia 12 tahun dengan nama Mohd Farid Abdullah mempunyai sijil kelahiran warganegara Malaysia namun pada maklumat mengenai butiran ibu pada sijil lahirnya tiada maklumat dipaparkan.

Pengerusi Pondok Al Jaafar, Mohamad Tarudi Bahari dilapor berkata proses melengkapkan butiran sijil kelahiran Mohd Farid dilakukan di JPN di sini pada Jun lepas selepas bekas isteri Rama Chandran berjaya dijejaki.

JPN berkata ia sentiasa mengambil kira elemen kebajikan dan kemanusiaan pihak yang berurusan namun dalam masa yang sama adalah menjadi tanggungjawab dan keutamaan jabatan untuk melaksanakan tugas dengan mematuhi Perlembagaan, perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

-- BERNAMA