BALIK PULAU: Inisiatif Jualan Agro MADANI banyak memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan B40 di sini.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu terbukti dapat meringankan beban rakyat dalam menangani isu kos sara hidup.

Bertempat di Medan GBBS, Taman Manggis Indah, program berkenaan memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas utama seperti ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan dan runcit yang dijual pada harga murah.

"Program sebegini sangat membantu sebab kebanyakan harganya tidak mahal.

"Contohnya, ayam kalau di pasar selalunya harga RM20 seekor, tetapi di sini murah. Telur pun murah. Ia sangat berbaloi untuk kami yang sememangnya dari keluarga besar," kata pengunjung, Hafiza Bahari.

"Bagi saya, inisiatif ini sangat bagus sebab penjual menjual dengan harga lebih murah dari harga pasaran. Banyak barang keperluan asas dijual. Memang usaha yang sangat murni," ujar seorang lagi pengunjung, Siti Farah Jamil.

Selain pengguna, peniaga turut menerima manfaat sama apabila dapat menjana lebih pendapatan susulan hasil jualan meningkat menerusi program Jualan Agro MADANI ini.

"Alhamdulillah sangat membantu penjual dari segi jualan. Orang datang pun ramai. Malah, menurut maklum balas yang kami terima, mereka gembira kerana barangan dijual sangat murah " kata Fatin Natasha Sayuti.

BACA: FAMA sasar RM57.5 juta bagi Jualan Agro MADANI 2024 

Sementara itu, Penyelaras Jualan Agro Madani FAMA Pulau Pinang, Aliff Ashraff Zainal berkata, program itu memberi faedah kepada pengeluar, usahawan dan pengguna di negeri ini.

"Di Taman Manggis ini kita buat hanya 10 kanopi (gerai) di mana kita fokus kepada jualan produk barangan basah dan keperluan harian.

"FAMA sasarkan mengadakan program sama di 100 lokasi dan kita sasarkan jualan keseluruhan RM2 juta ringgit tahun 2024 ini," katanya.