IPOH: Bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Perak menunjukkan angka yang memberangsangkan dengan penurunan sebanyak 51 peratus baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah KIR miskin tegar setakat 18 Nov lalu ialah sebanyak 4,819 orang, berbanding 9,402 pada Januari.

Katanya, satu Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak telah dilaksanakan, mengumpulkan 53 jabatan dan agensi pemberi bantuan serta pelaksana di peringkat daerah, termasuk Pejabat Daerah dan Tanah dan pihak berkuasa tempatan.

"Hasil dapatan bengkel tersebut antaranya adalah dengan mengunci data KIR miskin tegar pada Januari 2023 dan memberikan sepenuh fokus dan usaha dalam memastikan data ini berjaya dikurangkan, seterusnya dapat menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

"Selain daripada memperkasa integriti data sistem eKasih yang menjadi rujukan bagi jumlah KIR miskin tegar ini, pemantauan khusus oleh pentadbiran daerah dengan kerjasama erat semua agensi dan jabatan di negeri ini, jumlah data KIR miskin tegar yang dikunci ialah seramai 9,402 KIR.

"Ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan di mana telah berlaku penurunan sebanyak 51 peratus dengan jumlah terkini sehingga 18 Nov 2023, adalah seramai 4,819 orang," katanya.

Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan lisan berhubung peranan kerajaan negeri bagi menyokong usaha kerajaan persekutuan menyasarkan menoktahkan kemiskinan di Malaysia menjelang 2024.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain itu, kata Saarani, lebih 100 program kesejahteraan rakyat di seluruh Perak dilaksanakan dalam menyantuni golongan sasar ini dengan bantuan jabatan dan agensi pemberi bantuan.

Antaranya, program task force mobile team, program keusahawanan, kursus-kursus kemahiran, bantuan perniagaan dan baik pulih/bina baru rumah dalam memastikan golongan sasar ini dibantu serta mengeluarkan mereka dari kumpulan miskin tegar.

"Kerajaan negeri sedang giat mengumpul nama dari setiap daerah di Perak yang tergolong dalam kategori miskin tegar untuk dimohon penyertaan mereka ini ke dalam Program Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi iaitu Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

"Salah satu daripada empat inisiatif yang ditawarkan iaitu Inisiatif Basmi Miskin Tegar (BMT) dilihat sesuai untuk dipadankan kepada golongan ini di mana peserta yang layak akan dibantu melalui projek penambahan pendapatan mengikut kemahuan dan minat peserta tersebut," katanya.

Menurutnya, peserta akan ditemu duga bagi mendapatkan maklum balas jenis bantuan yang ingin dipohon dan akan diluluskan mengikut kelayakan dan garis panduan pelaksanaan program.

"Para peserta akan dipantau keberhasilan projek penambahan pendapatan mereka oleh pegawai lapangan IPR di setiap daerah bagi memastikan program ini berjaya dan tidak terhenti di pertengahan jalan," katanya.

Tambahnya, bagi pelaksanaan projek rintis tersebut, ia mula menunjukkan hasil di mana terdapat peserta yang mula berjaya keluar dari golongan miskin tegar eKasih.

Katanya mereka berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 maksimum sebulan, berbanding pendapatan awalan minimum sebulan sebelum ini hanya RM500.