Situasi banjir di Kelantan tidak menampakkan tanda akan pulih apabila mangsa yang dipindahkan meningkat dari masa ke semasa.

Terkini sejumlah 8,600 mangsa banjir melibatkan 2,784 keluarga dipindahkan ke 79 pusat pemindahan setakat pukul 8 pagi ini.

Daerah Bachok merupakan yang terbaru dilanda banjir menjadikan sembilan jajahan di Kelantan dinaiki air dengan jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan dengan 4,545 orang melibatkan 1,790 keluarga.

Ia diikuti Kuala Krai 1,451 orang, Kota Bharu 682 orang, Machang 847 orang, Pasir Puteh 217 orang, Tanah Merah 638 orang, Bachok 107 orang, Jeli 29 orang dan Tumpat 45 orang.

Paras air di Jambatan Guilemard Kuala Krai dan Sungai Golok Rantau panjang masih mencatatkan bacaan paras bahaya melebihi 1.31 meter pagi ini.

Manakala bacaan di sungai utama yang lain pada paras berjaga-jaga.

Lebih 30 jalan alternatif, jalan kampung di jajahan Pasir Mas, Machang, Kuala Krai dan Pasir Puteh terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Selain itu, berlaku runtuhan tanah di jalan Gua Musang-Cameron Highland di Kilometer 97 pada petang Selasa dan laluan mula dibuka lewat petang semalam dengan satu lorong.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Kelantan melaporkan 48 buah sekolah di Kelantan terpaksa ditutup akibat banjir melibatkan lebih lima ribu pelajar dan 1,500 guru.

Lebih ramai lagi penduduk dijangka akan dipindahkan tengah hari ini apabila hujan masih lagi turun di kawasan Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat.