Jumlah mangsa di negeri-negeri terlibat banjir terus mencatat penurunan kepada 50,497 orang pagi ini berbanding 55,919 orang malam tadi.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,876 orang di tujuh daerah terjejas setakat 10 pagi ini berbanding 39,158 orang malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, tujuh daerah yang terjejas itu ialah Temerloh kini menempatkan 14,270 orang, Pekan (11,030), Bera (2,693), Jerantut (2,510), Maran (2,149), Kuantan (1,115) dan Lipis (109).

Di KELANTAN, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 9, 175 orang daripada 2,208 keluarga pagi ini berbanding 9,224 orang daripada 2,189 keluarga malam tadi.

Menurut Majlis Keselamatan Negara Kelantan, jumlah yang direkod melibatkan 1,508 mangsa di Tanah Merah, Kuala Krai (3,094), Machang (2,419) dan 2,154 mangsa di Gua Musang.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir juga menurun sedikit kepada 6,194 orang daripada 1,703 keluarga pagi ini, berbanding 6,412 orang daripada 1,751 keluarga semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata jumlah mangsa di kawasan Perak Tengah kini 4,851 orang, Kuala Kangsar (251), Hulu Perak (648), Hilir Perak (289) dan 155 orang di Manjung.

Bagaimanapun di SABAH memperlihat sedikit peningkatan daripada 1,023 orang malam tadi kepada 1,150 orang pagi ini.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sabah, 909 orang daripada 254 keluarga adalah di daerah Kudat, Pitas (221 orang) dan Kota Belud (20 orang).

Sementara di JOHOR, mangsa banjir kekal 58 orang pagi ini manakala di TERENGGANU, hanya tinggal 44 mangsa banjir daripada 11 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau di Dungun.