Seorang jurujual lelaki ditemui maut pagi tadi, dipercayai diserang gajah liar di KM 51 Jalan Jemaluang-Kahang, di sini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki tersebut di luar keretanya daripada orang awam, kira-kira 8.10 pagi.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu berumur 52 tahun dan berasal dari Selangor. Mayatnya sudah dikenal pasti warisnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Cyril berkata siasatan mendapati lelaki tersebut meninggal dunia akibat kecederaan parah di dada dan rusuk akibat serangan mamalia itu.

Beliau berkata tiada sebarang unsur jenayah dikesan manakala kereta dan barangan berharga milik lelaki itu turut berada di lokasi kejadian.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun, siasatan lanjut masih dijalankan.

-- BERNAMA