Seorang jurulatih pasukan renang kebangsaan ditahan semalam selepas dipercayai merogol seorang atlet, lapor BH Online.

Suspek ditahan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Sri Petaling oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sekitar jam 12.30 tengah hari.

Jurulatih berusia 35 tahun, berasal dari China dan kini berstatus penduduk tetap (PR) itu ditahan selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata pihaknya akan mendapatkan kebenaran menahan reman suspek hari ini.

"Setakat ini, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Kuala Lumpur.

"Berdasarkan siasatan, kejadian rogol berlaku sekitar September lalu, namun identiti mangsa tidak akan didedahkan," katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau mengesahkan setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan daripada seorang mangsa.

Sementara itu, sumber berkata, suspek berkenaan sebelum ini terbabit dengan program 'KITA JUARA' pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara renang disiplin air.

Namun, mangsa tidak terbabit dalam mana-mana acara pada KL2017, yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos lalu.

Suspek yang juga bekas atlet Olimpik sudah berada di negara ini sejak lebih lima tahun lalu.