KUALA LUMPUR:Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menzahirkan ucapan takziah buat keluarga seorang jururawat dan pemandu kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Tanjung Batu, Pekan pada pagi Isnin.

Noor Hisham memaklumkan, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki empat petugas KKM itu dalam perjalanan ke Perkampungan Orang Asli untuk lawatan kesihatan berkala.

"Dukacita dimaklumkan sebuah kenderaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, Pahang telah terlibat dalam satu kemalangan pagi tadi ketika dlm perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli, ke perkampungan Orang Asli untuk lawatan kesihatan berkala. Al-Fatihah," jelas Hisham dalam ciapan Twitternya.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.12 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik KKM terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki dan sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, kemalangan berlaku apabila lori terbabit dalam perjalanan dari Rompin ke Kuantan itu dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua buah kenderaan terbabit.

Akibat rempuhan, Pemandu Toyota Hilux itu, Mohd Zuhairi Abdullah, 35, dan jururawat, Julayha Kudus, 39, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah.

Manakala tiga lagi mangsa, Pegawai Perubatan PKD Pekan, Muhd Ikhwan Ramlee,29, (penumpang Toyota Hilux) Azlida Mohamad Ramli, 41 dan Nur Mawaddah Mazuha, 5 (Pemandu dan penumpang Myvi) mengalami kecederaan.

Pemandu lori dan kelindan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya lagi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Klinik Kesihatan Nenasi untuk menerima rawatan.

Pemandu lori terbabit turut ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk membantu siasatan.