Kabinet menyarankan Foodpanda untuk kembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan 'riders' (penghantar makanan).

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, keputusan ini diambil selepas beliau membawa isu tersebut ke Kabinet hari ini.

“Semalam, saya telah mengadakan sesi pertemuan di kediaman saya bagi mendengar keluh-kesah riders. Sebelum itu, saya juga sempat bertemu pihak pengurusan Foodpanda di pejabat saya.

“Setelah mendengar cerita kedua belah pihak, saya bawakan isu ini ke Kabinet hari ini.

“Kerajaan percaya pada persaingan pasaran bebas tetapi ia tidak boleh mengorbankan nasib pekerja,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Jelas beliau, dakwaan Foodpanda bahawa kebanyakan penunggang mereka bersetuju dengan skim baharu adalah kurang tepat.

BACA: "Kami diugut jika lancarkan mogok" - Penghantar makanan Foodpanda

BACA: Nasib penghantar makanan Foodpanda dibincang Kabinet hari ini - Syed Saddiq

“Foodpanda mendakwa mereka mempunyai kawalan pasaran yang besar dan kebanyakan riders kecuali di Johor telahpun bersetuju dengan skim yang baharu.

“Ini adalah kurang tepat kerana riders daripada Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga membantah keputusan baru Foodpanda," tambah beliau.

Selain itu, tegasnya, kerajaan percaya kepada persaingan pasaran bebas, tetapi ia tidak boleh mengorbankan nasib pekerja.

Oleh itu, katanya Kabinet turut memutuskan satu jawatankuasa khas untuk menilai isu ‘gig economy’ dengan lebih mendalam perlu dibentuk.

Jawatankuasa khas itu akan dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Terdapat ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa. Mereka perlu mendapat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka.

“Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga,” katanya lagi.