MALAYSIA
Kabinet tubuh Jawatankuasa Khas Matlamat Pembangunan Mampan - Fadillah

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata beliau turut diamanahkan untuk mempengerusikan jawatankuasa berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan koordinasi pelaksanaan SDG di peringkat pusat dan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Kabinet meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas SDG yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bagi menyelaras pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan di peringkat pusat dan negeri.
- Sebanyak 115 kawasan Parlimen telah terlibat dalam pemetaan isu dan pelaksanaan projek komuniti berteraskan SDG, dengan APPGM-SDG merancang penubuhan Pusat Komuniti SDG berasaskan zon dan wilayah untuk memperkukuh kerjasama rentas Parlimen.
- Laporan Tahunan 2024 APPGM-SDG dijadikan rujukan penting bagi pembuat dasar dan masyarakat umum, sebagai pelan hala tuju ke arah Malaysia yang adil, inklusif dan mampan menjelang 2030.
"Insya-Allah saya bersama rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO), ahli akademik serta sektor swasta akan menjalinkan kerjasama untuk memartabatkan (pelaksanaan SDG) sekali gus membantu rakyat," katanya dalam ucapan pelancaran Laporan Tahunan 2024 Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-SDG (APPGM-SDG) di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata setakat 2024, sebanyak 115 kawasan Parlimen di seluruh negara terlibat dalam proses pemetaan isu, penggubalan pelan tindakan dan pelaksanaan projek-projek komuniti berteraskan SDG.
Fadillah berkata ia merupakan pencapaian yang membanggakan dan membuka ruang kepada pembudayaan SDG di peringkat akar umbi secara lebih meluas dan sistematik.
Beliau turut mengalu-alukan langkah APPGM-SDG untuk mewujudkan Pusat Komuniti SDG berasaskan zon dan wilayah yang akan membolehkan komuniti berkongsi sumber, menggalakkan kerjasama rentas Parlimen dan membina daya tahan bersama.
"Pendekatan wilayah seperti ini selari dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh keupayaan tempatan dan mempercepatkan pelaksanaan dasar di peringkat daerah dan negeri," katanya.
Memasuki Dekad Tindakan SDG, Fadillah berkata laporan APPGM-SDG amat penting sebagai rujukan kepada pembuat dasar, pemimpin tempatan dan juga masyarakat umum selain menunjukkan pencapaian dan memberi petunjuk kepada jurang yang masih perlu ditangani.
"Laporan Tahunan 2024 APPGM-SDG bukan hanya laporan, ia adalah pelan hala tuju dan cerminan kepada cita-cita kita semua untuk membina sebuah Malaysia yang adil, inklusif dan mampan menjelang 2030 dan seterusnya," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami