Kadar kemiskinan tegar turun kepada 0.09 peratus tahun lepas - Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata penurunan itu menunjukkan hanya kira-kira 7,000 individu kini berstatus miskin tegar di seluruh negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kadar kemiskinan tegar nasional mencatat penurunan kepada 0.09 peratus tahun lepas berbanding 0.2 peratus pada tahun sebelumnya, demikian Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penurunan itu menunjukkan hanya kira-kira 7,000 individu kini berstatus miskin tegar di seluruh negara.
Beliau menjelaskan kejayaan itu hasil pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif dan pendekatan di bawah Kerajaan MADANI bagi menangani isu kemiskinan secara menyeluruh.
"Hanya ada tiga negeri masih merekodkan kelompok miskin tegar dan kita akan terus berusaha mengurangkannya.
"Kita juga memperkenalkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) bagi memperkukuh usaha menangani kemiskinan, bukan sekadar dari sudut kewangan semata-mata, tetapi turut mengambil kira aspek kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat,
Terdapat banyak penambahbaikan yang dapat dilihat dalam data semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah menegaskan Agenda Pemerkasaan Bumiputera tidak pernah diketepikan oleh kerajaan, sebaliknya diteruskan melalui pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang sedang diterjemahkan oleh semua kementerian dan agensi berkaitan.
Beliau berkata dalam melaksanakan agenda itu, kerajaan mengambil pendekatan negara menyeluruh, bukan hanya melibatkan agensi kerajaan semata-semata, tetapi turut membabitkan pelbagai pihak lain.
"Hasilnya, pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera setakat ini menunjukkan pencapaian yang positif," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


