MALAYSIA
Kadar kesuburan negeri paling rendah, LPPKN Pulau Pinang laksana advokasi

Pulau Pinang merekodkan kadar kesuburan paling rendah di seluruh negara iaitu 1.3 anak bagi setiap pasangan tahun lepas. - Foto hiasan
KEPALA BATAS: Pulau Pinang merekodkan kadar kesuburan paling rendah di seluruh negara iaitu 1.3 anak bagi setiap pasangan tahun lepas, kata Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri Dr Azura Abdullah.
Beliau berkata meskipun angka itu merupakan peningkatan daripada 1.2 pada 2023 namun pelbagai program dan advokasi tetap dilakukan untuk meningkatkan kadar kesuburan yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk masalah kesuburan.
"LPPKN Pulau Pinang menjalankan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesuburan antaranya klinik bantuan kesuburan termasuk mempromosikan Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI)," katanya.
Dr Azura berkata demikian selepas merasmikan Program Kesejahteraan Lelaki Sempena Sambutan Hari Bapa 2025 peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.Pulau Pinang antara negeri mendapat manfaat program BuAI dengan kerajaan akan membiayai dua kitaran rawatan permanian beradas (IUI) kepada pasangan yang layak secara percuma.
BuAI diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM6 juta bagi pelaksanaan bantuan tersebut.
Dr Azura berharap kemudahan dan subsidi rawatan kesuburan itu dapat membantu lebih ramai pasangan merealisasikan impian membina keluarga.
Beliau berkata lelaki juga berdepan masalah kesuburan disebabkan pelbagai faktor justeru pemeriksaan kesihatan terhadap kedua-dua suami dan isteri penting bagi mengetahui punca sebenar masalah kesuburan sebelum rawatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami