NATIONAL
Kadar pengangguran di Melaka menurun 1.8 peratus suku keempat 2024

Ab Rauf (tengah) hadir bagi merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2025 di Melaka malam tadi. - Facebook Ab Rauf
MELAKA: Kadar pengangguran di Melaka bagi suku keempat pada tahun lepas menurun kepada 1.8 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam merancakkan peluang pekerjaan terutamanya membabitkan golongan belia di Melaka.
"Hari ini, Melaka memiliki lebih 200,000 belia dan ini bukan sekadar angka tetapi mereka ialah tenaga masa depan negeri dan negara serta aset paling berharga yang bakal mencorakkan wajah Melaka.
"Justeru, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan merangkumi kebolehpasaran kerja, keusahawanan, pendidikan, pembangunan sahsiah, sosial dan nilai keagamaan," katanya ketika berucap di sini malam tadi.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2025 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk V.P. Shanmugam.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pemerkasaan anak muda berkemahiran tinggi melalui pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bukan sahaja untuk memenuhi kehendak industri malah meletakkan Melaka sebagai Pusat TVET Negara.
Beliau berkata semua usaha yang dilaksanakan itu bagi memastikan anak Melaka bukan sahaja mampu bersaing tetapi menjadi pilihan utama industri.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri bertekad untuk memastikan penglibatan belia bukan hanya pada peringkat program, tetapi terlibat aktif dari peringkat perancangan sehingga pelaksanaan dasar.
"Saya yakin, hubungan erat antara kerajaan dan belia akan menjadi katalis lahirnya lebih ramai anak muda Melaka yang berwawasan, berdaya saing dan bersedia untuk menjadi pemimpin.
"Oleh itu, kerajaan negeri akan terus mewujudkan ekosistem yang kondusif daripada aspek infrastruktur, peluang dan bimbingan agar segala inisiatif pembangunan belia memberi impak yang mampan dan berkekalan," katanya.
Beliau berkata dalam memastikan suara belia terus didengari, kerajaan negeri menubuhkan Ahli Dewan Undangan Negeri Belia melibatkan 33 wakil daripada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai platform latihan kepimpinan dan penglibatan dasar di peringkat akar umbi.
Kerajaan negeri juga memperkenalkan Skim Rumah Belia Melaka (RBM), iaitu skim perumahan belia pertama di Malaysia yang menyediakan 1,754 unit rumah bagi membantu belia memiliki kediaman pertama.
Terdahulu, pada majlis sambutan itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) kepada Mohamad Norshah Ezwan Yusof (Johan Kategori Individu Lelaki), Asmah Sulaiman (Johan Kategori Individu Wanita) dan Gerakan Belia 4B Cawangan Solok Kilang Berapi (Johan Kategori Pertubuhan Belia).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami