BATU PAHAT: Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) menetapkan tiga kadar zakat fitrah tahun ini, iaitu RM7, RM12 dan RM20.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penetapan harga fitrah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini, iaitu pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan kadar RM7 untuk umat Islam negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras jenis Super Tempatan.

"Manakala kadar zakat fitrah RM12 membabitkan umat Islam negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan (beras import).

"Satu lagi adalah kadar RM20 bagi yang menjadikan makanan hariannya beras Super Wangi dan beras Basmathi," katanya pada sidang akhbar selepas Program 'MAINJ kan ada' di Maktab Rendah Sainsa Mara (MRSM) Batu Pahat di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Fared seramai 1,660 amil telah dilantik dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah di Johor.

"Pembayaran zakat fitrah boleh ditunaikan menerusi tiga cara iaitu menerusi pembayaran secara atas talian dan aplikasi TULUS, atau terus ke kaunter MAINJ di setiap cawangan atau daerah, atau boleh membayar kepada amil dilantik.

"Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum hari raya," ujarnya.

Menurut Mohd Fared, MAINJ mengunjurkan RM24.296 juta pungutan zakat fitrah yang dikutip membabitkan 2.2 juta umat Islam di negeri ini.

"Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu ini, iaitu dengan mengambil 15 peratus adalah pembayar bayar bagi RM7.00 dan 70 peratus bagi pembayar RM12.00. Sementara 15 peratus adalah pembayar bagi RM20," katanya.

Selain itu, tambahnya MAINJ juga akan memberikan bantuan Aidilfitri kepada golongan asnaf berjumlah RM14.63 juta.

"Ia membabitkan 6,911 ketua keluarga fakir dan 31,125 ketua keluarga miskin. Setiap ketua keluarga fakir mendapat RM400 selain RM300 bagi setiap ketua keluarga miskin.

"Sementara tanggungan, setiap keluarga fakir dan miskin pula akan mendapat bantuan Aidilfitri RM50 membabitkan 9,588 tanggungan keluarga fakir dan 40,932 tanggungan keluarga miskin," katanya. - Sinar Harian