KOTA BHARU: Seorang kakitangan kerajaan kerugian RM852,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket menggunakan taktik panggilan telefon yang menyamar pegawai insurans, pegawai mahkamah dan polis.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mangsa lelaki berusia 50-an telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa daripada sebuah syarikat insurans dari Ampang, Selangor pada Januari lepas ketika berada di rumahnya.

Beliau berkata, menerusi panggilan itu, suspek mendakwa mangsa telah membuat tuntutan kos pembedahan sebanyak tiga kali dalam tempoh singkat.

Mangsa kemudiannya sekali lagi menerima panggilan telefon daripada syarikat insurans yang sama pada awal Februari memaklumkan bahawa mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

"Menerusi panggilan itu, suspek mengatakan waran tangkap dan waran pembekukan akaun ke atas mangsa telah dikeluarkan. Panggilan telefon kemudiannya telah disambungkan kepada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

"Mangsa telah diarahkan untuk membuka akaun Agro Bank dan memberikan nombor telefon yang diberikan oleh suspek semasa proses pembukaan akaun bank tersebut selain suspek turut meminta mangsa untuk memindahkan wang dari akaun ASB milik mangsa ke dalam akaun baru dibuka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata, pada masa yang sama suspek juga telah mengarahkan mangsa untuk membuat pinjaman peribadi dengan bank MBSB sebanyak RM350,000 selain mangsa telah melakukan pemindahan ke dalam akaun Agro Bank miliknya seperti yang diarahkan oleh suspek.

Katanya, suspek kemudiannya telah memberitahu mangsa bahawa pihak mahkamah memerlukan masa tiga bulan untuk memberikan keputusan rasmi kepada mangsa.

"Pada awal April, mangsa cuba untuk mendaftar perbankan dalam talian untuk akaun Agro Bank miliknya tetapi gagal kerana ada pihak telah mendaftar menggunakan nombor akaun mangsa.

"Mangsa kemudiannya telah membuat semakan di bank berhampiran dan mendapati baki di dalam akaun mangsa hanya berbaki RM48. Menyedari telah ditipu, mangsa hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata anggaran kerugian lebih kurang RM852,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA