KUALA SELANGOR: Perdana Menteri menegaskan, sekiranya dipulangkan terus semua wang yang ‘dicuri’ daripada negara, sekarang juga beliau boleh menyalurkan banyak bantuan untuk rakyat.

Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah yang dicuri bukannya sedikit, sebaliknya jumlahnya berbilion ringgit.

Tambah beliau, semua wang yang dicuri itu menyebabkan hasil negara berkurang dan menyukarkan kerajaan untuk memberi lebih banyak bantuan kepada rakyat.

“Sesetengah orang kurang senang dengan saya. Kalaulah kita boleh ambil balik semua wang yang ‘disakau’ puluh-puluh bilion itu, saya hari ini boleh bantu rakyat. Bukan sedikit, ambil tokoh-tokoh negara, seorang bilion sana, seorang bilon sini. Cuba bagi baliklah.

“Bersyarah, kata pejuang Melayu. Saya pernah sebut dulu, betul ke pejuang Melayu? Betul. Hidup Melayu? betul. Jaga kepentingan Melayu? Ya.

“Baik, harta kamu berbilion ringgit dalam dan luar negara, ambil setengah dan bagi pada orang Melayu. Tak mahu pula.

“Jadi sebab itu, bagi saya tatakelola ini penting. Jangan izinkan negara teruskan amalan yang rosak ini,” katanya.

Tegasnya, kerana kerosakan sebegitulah, beliau begitu keras melawan rasuah dan salah guna kuasa sebaik menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada Dialog Program Madani Rakyat (PMR) Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.