Kampung Angkat MADANI: Bangunan serbaguna di Kampung Chengal Lempong digunakan sebagai tadika

Bangunan serbaguna itu dibina dengan peruntukan berjumlah RM600,000 melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI. - Foto FB Farhan Fauzi
KUALA LUMPUR: Bangunan serbaguna baharu di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI telah siap sepenuhnya.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi memaklumkan, ia kini digunakan sebagai tadika.
“Semasa tinjauan, saya sempat beramah mesra bersama anak-anak tadika serta melihat sendiri suasana pembelajaran mereka dalam persekitaran yang lebih selesa dan kondusif,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook pada Khamis.
Bangunan serbaguna itu dibina dengan peruntukan berjumlah RM600,000 melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI.
Menurut beliau, pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa melalui inisiatif itu mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memperkasa kemudahan dan kesejahteraan rakyat.
Rentetan itu, beliau berharap, penduduk Kampung Chengal Lempong dapat memanfaatkan kemudahan itu, selain menjaga dengan sebaiknya untuk sebarang aktiviti demi manfaat penduduk setempat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


