KUALA TERENGGANU: Kampung Banggol Cempedak di Serada dekat sini mencipta memori tersendiri apabila terpilih sebagai Kampung Angkat MADANI pertama di Terengganu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata perkampungan yang terletak di pinggir Sungai Terengganu itu dipilih kerana memiliki tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan seni warisan yang tersendiri.

Beliau berkata walaupun jumlah penduduknya tidak ramai, pelbagai aktiviti rekreasi air, kebudayaan, kesenian dan produk hiliran keluaran industri kecil serta sederhana yang unik boleh didapati di situ.

"Kampung Banggol Cempedak didiami oleh 207 penduduk, terdiri daripada 111 lelaki dan 96 wanita. Pekerjaan utama penduduk adalah bertukang, buruh, petani dan juga nelayan.

"Namun kampung kecil ini memiliki keunikan dan keistimewaannya. Di sini masyarakatnya masih tebal dengan nilai dan ciri-ciri tradisional, menjadikannya sesuatu yang menarik untuk diterokai," katanya ketika melancarkan Kampung Angkat MADANI Kampung Banggol Cempedak, di sini.

Mohd Zuki berkata dengan pengiktirafan tersebut Kampung Banggol Cempedak akan menerima peruntukan sebanyak RM2.5 juta bertujuan memaju dan menaik taraf kemudahan asas yang terdapat di kampung berkenaan.

Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk program peningkatan ekonomi, menaik taraf infrastruktur seperti jalan, sistem saliran, surau, pagar dan wakaf di tanah perkuburan.

"Cadangan projek di atas telah disemak silang dan didapati mematuhi skop serta garis panduan Program Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Program Ameniti Sosial (PAMS) yang dikeluarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Kita harap inisiatif Kampung Angkat MADANI dan peruntukan yang disalurkan dapat membangunkan kampung ini bagi mendokong usaha memartabat ekonomi komuniti setempat," katanya yang turut menyampaikan sumbangan barangan persekolahan kepada 142 pelajar dari sekitar Kuala Terengganu.

Kampung Angkat MADANI merupakan program di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM) bertujuan membantu komuniti desa memulakan projek ekonomi sendiri.

Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kerajaan untuk pelaksanaan DKM yang memberi peluang kepada komuniti menentukan sendiri projek ekonomi yang ingin dibangunkan mereka.

Sementara itu wakil penduduk Kampung Banggol Cempedak, Che Muni Mohd Nor, 50, berkata pengiktirafan tersebut diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk.

Che Muni berkata sekiranya terdapat peruntukan oleh kerajaan, beliau bercadang untuk membina lebih banyak chalet dan jambatan gantung bagi menggalakkan kedatangan pelancong.

"Mungkin kita juga boleh tubuhkan koperasi untuk orang kampung sama-sama mendapat keuntungan daripada aktiviti ekonomi yang dijalankan," katanya.

-- BERNAMA