Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang kini dirawat di Hospital Melaka disyaki dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila selepas mendakwa terkena gigitan anjing ketika pulang ke kampung di Serian, Sarawak kira-kira sebulan lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Datuk Ghazali Othman ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit.

Beliau berkata, kanak-kanak itu pada awalnya dibawa oleh bapanya ke Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, Melaka pada 12 Julai lalu untuk menerima rawatan pesakit luar ekoran demam yang tidak surut sejak hampir sebulan lalu.

Mangsa kemudian dirujuk dan dimasukkan ke wad Hospital Melaka selepas dimaklumkan ada terkena gigitan anjing ketika pulang bercuti bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman mereka di Serian.

Jelas Ghazali, ujian kesihatan telah dilakukan terhadap kanak-kanak itu dan keputusan ujian itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Buat masa ini katanya, kanak-kanak itu ditempatkan di wad kanak-kanak biasa dan keadaannya dilaporkan stabil.