SUNGKAI:Seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Jerong, Kampung Bikam, dekat  sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mayat Muhamad Amsyar Mohd Zamri dijumpai jam 11.30 pagi, kira-kira 15 meter daripada tempat dia dilaporkan terjatuh.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 11.15 pagi yang menyatakan terdapat orang lemas di Kampung Bikam.

Katanya, operasi mencari menyelamat telah dijalankan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Tapah, Angkatan Pertahanan Awam, polis dan orang kampung.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati cuaca hujan lebat. Mangsa bersama dua orang adik-beradiknya dan seorang sepupu berumur antara lima hingga 11 tahun telah bermain air di Sungai Jerong mulai jam 10.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azharuddin berkata, apabila mangsa terjatuh ke dalam sungai, adik-beradik dan sepupunya berlari  memberitahu ibu mereka yang berada di rumah yang jaraknya kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, ketika ditemui, mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Katanya, keluarga mangsa yang tinggal di Felda Besout 2 telah berkunjung ke rumah saudara di Kampung Bikam pada Sabtu.

“Lebih kurang jam 10.30 pagi ini, tanpa disedari oleh kedua ibu bapanya, mangsa bersama abangnya telah bermain air di dalam hujan lebat menyebabkan air sungai deras,” ujarnya.

Katanya, siasatan awal  mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.