Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak perempuan dua tahun maut dilanggar lori dipandu datuk

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar sebuah lori dipandu datuknya dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, di sini hari ini. -- AWANI
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. -Foto Astro AWANI
Advertisement

GURUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar sebuah lori dipandu datuknya dalam kejadian di Kampung Bukit Kuang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 61 tahun itu dipercayai sedang mengundurkan lori panjang berkenaan di pekarangan rumah sebelum terlanggar cucunya.

"Pemandu lori itu dikatakan sedang mengundurkan kenderaan berkenaan. Bagaimanapun, dia tidak menyedari cucunya berada di bahagian belakang lalu melanggar mangsa.

"Lori tersebut yang digunakan untuk membawa baja didapati tidak membawa muatan ketika insiden berlaku," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.

Adzli berkata, polis telah membuka dua kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

Must Watch Video

Advertisement