NATIONAL
Kanak-kanak jatuh jambatan, dikhuatiri dihanyut arus sungai

Kanak-kanak malang berkenaan dikatakan terjatuh dari kawasan dalam bulatan di atas jambatan. Foto JBPM Perak
IPOH:Seorang kanak-kanak dikhuatiri terjatuh di dalam sungai di Kampung Chepor Dalam, dekat sini, hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 10.47 pagi.
“Seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun disyaki terjatuh ke dalam sungai dan mangsa dipercayai telah dihanyutkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan.
Kampung tersebut telah dilanda banjir kilat pagi semalam ekoran hujan lebat pada malam sebelumnya.
Malah, dalam satu kejadian semalam, seorang mangsa banjir meninggal dunia selepas rebah berhampiran kediamannya di Kampung Chepor Dalam.

Kampung Chepor Dalam dilanda banjir kilat pagi semalam ekoran hujan lebat pada malam sebelumnya. - Foto JBPM Perak
Ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Yusli Yusof, 56 tahun, dikatakan sempat berbual dengan beberapa penduduk yang juga mangsa banjir di situ sebelum dilihat kepenatan dan terbaring di atas jalan.
Mangsa yang berada dalam keadaan separa sedar sempat dibawa ke hospital oleh ahli keluarga, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Bagaimanapun, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak dibuka di kampung tersebut kerana banjir hanya separas lutut dan surut dengan segera.

Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak yang terjatuh ke dalam sungai sedang dijalankan. Foto JBPM Perak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami