CHUKAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri lemas manakala dua rakannya selamat ketika mandi-manda di alur Sungai Kuala Kemaman, berdekatan Pantai Telaga Simpul di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa, Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman, yang tinggal di Taman Bukit Kuang Sejahtera, di sini dikatakan berbasikal ke lokasi kejadian untuk mandi-manda bersama dua rakannya sebelum dipercayai hanyut dibawa arus deras susulan hujan lebat.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 4.30 petang dan usaha mencari dimulakan pada 5 petang tadi bersama pasukan bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta orang kampung.

"Operasi ini masih lagi berjalan dan akan dilaksanakan sehingga mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai ditemukan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman, BBP Chukai, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain dibantu beberapa bot nelayan.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau dan peka terhadap aktiviti anak-anak serta melarang mereka bermain air ketika musim tengkujuh berikutan kejadian itu merupakan insiden lemas kedua dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Pada Khamis, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun ditemukan lemas kira-kira 100 meter dari lokasi akhir selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda bersama dua rakan di alur sungai berhampiran Kampung Batu 9, Ibok, dekat sini.

-- BERNAMA