MALAYSIA
Kanak-kanak maut dipukul tukul selamat dikebumikan di Bachok

Allahyarham disemadikan pada 10.34 malam dengan diiringi lebih 100 ahli keluarga, sanak-saudara dan penduduk setempat yang hadir memberi penghormatan terakhir. - Foto BERNAMA
BACHOK: Jenazah Muhammad Ammar Muhammad Badrul yang meninggal dunia selepas cedera parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujor, Jelawat, di sini, malam tadi.
Allahyarham disemadikan pada 10.34 malam dengan diiringi lebih 100 ahli keluarga, sanak-saudara dan penduduk setempat yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah dibawa dari Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian sebelum disolatkan di rumah bapa saudaranya, di Kampung Mujor.
Bapanya Muhammad Badrul Remli, 31, dilihat memangku jenazah anak sulungnya berusia tujuh tahun itu sebaik tiba di tanah perkuburan, manakala ibunya Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, turut hadir mengiringi pengebumian.Sepupu arwah Amirul Nizam Saiful Bahari, 25, berkata, Allahyarham pernah meluahkan hasrat untuk tinggal bersama ibunya di Terengganu beberapa minggu lepas, namun tidak kesampaian.
"Dia ada beritahu mahu ikut ibunya tinggal di Terengganu dan bersekolah di sana tapi tak sempat. Arwah sepatutnya menghabiskan sesi persekolahan tahun ini di Kelantan dahulu," katanya kepada pemberita di tanah perkuburan berkenaan malam ini.
Amirul Nizam menyifatkan Allahyarham seorang kanak-kanak yang baik, tidak agresif dan disenangi ramai.
Muhammad Ammar disahkan meninggal dunia pada 3.02 petang tadi di HPUSM, selepas seminggu bertarung nyawa.
Pada Khamis lepas, media melaporkan seorang lelaki berusia 46 tahun disyaki memukul anak saudaranya dengan tukul hingga parah, di sebuah rumah kedai di Jelawat sebelum ditemukan mati tergantung di sebatang pokok berhampiran Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Berikutan itu, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ibu saudara mangsa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami