MELAKA: Jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka kini berada di tahap kritikal sehingga memaksa beberapa wad biasa ditukar fungsi kepada wad ICU, bagi menampung peningkatan kes pesakit kritikal termasuk pesakit COVID-19.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebelum ini hospital berkenaan hanya mempunyai 72 katil bagi kegunaan ICU, sebelum ditambah kepada 114 katil ketika ini.

Bagi pesakit COVID-19 sahaja, sejumlah 70 katil ICU telah dikhaskan dan sehingga kini terdapat 51 pesakit tahap empat dan lima sedang ditempatkan di wad berkenaan termasuk sembilan yang sedang menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Pada Ahad, untuk keseluruhan di Hospital Melaka pesakit ada 145 pesakit ICU dengan jumlah katil 114, bermakna telah melepasi 127.2 peratus.

“Berkenaan kes COVID-19, peruntukan untuk katil ICU termasuk dalam keseluruhan tadi, iaitu kita ada 70 katil dan telah diisi sebanyak 51.

“Ini bermakna telah 72.9 peratus diisi dan ada sembilan orang menggunakan alat bantuan pernafasan yang kita bimbang,” katanya dalam sidang media di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, di sini hari ini.

COVID-19 | ICU Hospital Melaka kritikal


Dalam perkembangan lain, Rahmad turut menyuarakan kebimbangan apabila jangkitan COVID-19 membabitkan kes Import B iaitu jangkitan dari luar Melaka, meningkat setiap hari sekali gus mendorong kepada peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Setakat Ahad, terdapat sembilan kes Import B direkodkan yang mana ia dikhuatiri boleh merebak ke dalam komuniti jika tidak dikawal.

Kes Import B ini berlaku daripada aktiviti rentas negeri antaranya daripada ziarah kematian atau urusan kerja di negeri lain yang kemudiannya dibawa masuk ke Melaka.