KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi meneliti tindakan segera bagi melaksanakan proses kawal selia termasuk pendaftaran platform e-dagang yang beroperasi di Malaysia.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata berdasarkan siri aduan yang diterima serta arahan Jemaah Menteri, kedua-dua kementerian berkenaan akan mula mengambil tindakan berkuat kuasa hari ini.
Tegasnya, langkah itu penting bagi memastikan kepentingan serta keselamatan pengguna sentiasa dilindungi, terutama berhubung pematuhan piawaian bagi produk yang dijual menerusi platform berkenaan.
"Terdapat platform e-dagang yang telah mematuhi keperluan dengan mempunyai syarikat yang berdaftar dan berpangkalan di negara ini, namun terdapat juga platform yang tidak mempunyai syarikat berdaftar serta beralamat di Malaysia.
"Oleh itu, beberapa tindakan akan diambil oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi berhubung perkara tersebut," katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata tindakan itu turut mengambil kira jumlah aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung produk yang dijual menerusi platform e-dagang.
Ujarnya, MCMC menerima 1,964 aduan berkaitan penjualan produk menerusi platform e-dagang serta isu penipuan (scam) sejak 1 Januari 2025 hingga 25 Ogos 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,147 aduan diterima sepanjang 2025, manakala 817 aduan lagi diterima bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Ogos 2026, dengan 188 aduan masih dalam tindakan MCMC.
Beliau berkata antara aduan yang diterima termasuk 191 berkaitan produk elektrik dan elektronik serta empat aduan mengenai kesahihan status halal produk yang dijual menerusi platform e-dagang.
"Hasrat kerajaan adalah untuk pastikan para pengguna sentiasa dilindungi. Kita tidak berhasrat untuk menutup tetapi kita mahu bagi contoh produk-produk elektrik dan elektronik ia harus mendapat piawaian SIRIM.
"Bagi produk-produk yang dijual, sekiranya ada status halal maka ia mesti mematuhi piawaian halal yang kita gunakan dalam negara," katanya.
Mengenai proses pendaftaran pula, Fahmi berkata MoF dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempunyai proses tersendiri, manakala MCMC mempunyai kerangka kawal selia yang akan digunakan dalam perbincangan dengan pengendali platform.
Beliau berkata pihak kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama platform e-dagang bagi membincangkan keperluan serta langkah yang perlu dilaksanakan.