KAWALAN keselamatan diperketat pada Isnin sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne ketika ini.

Sidang khas itu akan dihoskan oleh Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ketika negara itu meraikan ulang tahun ke-50 sebagai rakan luar pertama ASEAN, tahun ini.

Sembilan pemimpin Asia Tenggara dijadual mengambil bahagian dalam sidang yang disifatkan sebagai salah satu perhimpunan diplomatik terbesar di Australia yang berlangsung mulai 4 hingga 6 Mac.

Pada masa sama, pemimpin-pemimpin terlibat berharap dapat memperkukuhkan hubungan keselamatan dan ekonomi menerusi sidang ini.

Australia juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan China selepas persidangan bagi membincangkan topik perdagangan, keselamatan dan lain-lain.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Australia dan mengetuai delegasi Malaysia ke dua program utama iaitu Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Lawatan Anwar ke Australia adalah atas jemputan Albanese, termasuk bagi menghadiri mesyuarat dan pertemuan penting di Melbourne, sebelum ke Canberra pada hari terakhir, 7 Mac.