NATIONAL
KBS anjur 4th ASEAN Youth Dialogue dalam usaha perkukuh peranan belia

Menurut Hannah, program ini bertujuan memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan dalam pembangunan mampan dan kelestarian rantau ASEAN. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan 4th ASEAN Youth Dialogue dan 4th ASEAN Youth Leaders Interface with ASEAN Leaders bermula 22 hingga 28 Mei 2025 di Kuala Lumpur bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bertemakan Youth for a Sustainable Future: Empowering Inclusion and Driving Change in ASEAN, program ini bertujuan memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan dalam pembangunan mampan dan kelestarian rantau ASEAN.
"Dalam beberapa hari akan datang, anda akan terlibat dalam perbincangan kritikal dan dialog dasar, bertukar idea serta amalan terbaik, dan merangka cadangan dalam Kenyataan Belia ASEAN yang akan membantu membentuk agenda belia ASEAN.
"Peluang untuk membentangkan Kenyataan Belia ASEAN kepada semua pemimpin ASEAN merupakan satu platform yang hebat untuk memastikan suara anda didengari oleh para pemimpin dan saya menggesa anda untuk berani, inovatif dan bersatu dalam merealisasikan matlamat anda," katanya.Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran 4th ASEAN Youth Dialogue, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, program ini menghimpunkan lebih 85 pemimpin belia dari negara-negara ASEAN dan Timor-Leste serta wakil-wakil agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku rakan strategik.
Antaranya sesi dialog, bengkel, dan perbincangan dasar yang memberi tumpuan kepada isu-isu utama seperti pendidikan berkualiti, pembangunan ekonomi, inovasi digital, perubahan iklim, kesihatan mental dan keterangkuman sosial.
Sesi ini turut memberi peluang kepada wakil belia ASEAN untuk berkongsi pandangan dan harapan mereka secara langsung kepada para pemimpin tertinggi rantau.
Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia percaya bahawa penglibatan aktif belia dalam dialog dan proses pembuatan dasar adalah kunci kepada masa depan ASEAN yang mana penganjuran program ini selaras dengan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami