KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertahanan dalam memastikan keselamatan sempadan darat negara terpelihara susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, antara usaha dilakukan kerajaan adalah merancang untuk membina jalan rondaan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia sepanjang kira-kira 1,000 km bermula dari hujung Telok Melano hingga Serikin, Sarawak.

"Dalam hal ini, KDN telah mengenal pasti lokasi strategik dan akan memfokuskan kepada lokasi-lokasi hotspot (laluan haram aktif) yang akan memberi kelebihan dalam melaksanakan penguatkuasaan ke atas aktiviti rentas sempadan secara tidak sah," katanya.

Beliau bekata demikian semasa menggulung perbahasan Usul Menjujung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara, hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan Pasukan Gerakan Am telah menempatkan satu Briged dan tiga Batalion di Wilayah Sarawak bagi memastikan kawalan sempadan negara dapat dilaksanakan secara berterusan.

"Tujuan operasi ini adalah untuk mendominasi kawasan tanggungjawab, menunjukkan kehadiran polis, mencegah dan membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan secara tidak sah di sempadan negara," katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan akan membina dan menaik taraf pintu masuk antarabangsa serta pos kawalan keselamatan di sempadan negara sebagai persediaan bagi menyokong pembukaan semula aktiviti perdagangan.

Beliau memaklumkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Pos Imigresen Teluk Melano dan Pos Imigresen Serikin, Sarawak akan dinaik taraf manakala kementerian juga bersetuju untuk membina Pos Imigresen Ba'Kelalan di negeri itu.

"Keperluan projek-projek ini adalah bagi memastikan kemudahan keluar masuk penumpang dan barangan melalui pintu masuk ini disediakan dengan komprehensif," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-- BERNAMA