PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyita sebanyak 3,254 unit jam dinding digital yang mengandungi audio 30 juzuk al-Quran dengan fungsi azan yang dijual tanpa kelulusan, dianggar bernilai RM1.1 juta.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata jam itu dirampas dalam serbuan yang dilakukan di empat premis di sekitar Lembah Klang bulan lepas, yang dipercayai menjadi pengedar kepada penjualan jam dinding digital itu.

Beliau berkata kesemua barangan itu yang dipercayai diimport dari China dan dijual dengan harga pasaran bermula RM350 seunit melalui platform media sosial, e-dagang dan kedai fizikal, disita kerana menyalahi Seksyen 6(1) Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986, iaitu tiada perakuan KDN.

"Semakan lanjut mendapati jam dinding digital yang dirampas mempunyai kesalahan teknikal audio bacaan al-Quran seperti bacaan berulang serta bacaan dan maksud tidak sempurna kerana bacaan bercampur aduk dengan laungan azan.

"Terjemahan al-Quran dalam bahasa lain yang didapati dalam jam digital itu juga tidak menepati penggunaan terjemahan di Malaysia iaitu berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nik Yusaimi berkata berikutan itu, empat lelaki yang merupakan pemilik premis berumur lingkungan 30 hingga 40-an telah ditahan bagi membantu siasatan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, mana-mana penerbitan al-Quran dalam apa jua bentuk yang mengandungi satu juzuk atau lebih ayat al-Quran, hendaklah mendapatkan perakuan KDN dengan melalui proses semakan pakar terlebih dahulu sebelum boleh diedar atau dijual di negara ini.

"Kawalan ini perlu bagi menjamin kesucian ayat-ayat al-Quran yang betul untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia serta mengelakkan ayat al-Quran dikelirukan sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

"Mana-mana bahan yang mempunyai ayat al-Quran satu juzuk dan ke atas yang tidak mempunyai perakuan KDN seperti ini, lazimnya akan mempunyai kesalahan dan mengelirukan masyarakat melalui sebutan dan bacaan yang membawa maksud tidak tepat sebagaimana ayat itu diturunkan," katanya.

Nik Yusaimi berkata sehingga kini, terdapat sejumlah 952 pruf akhir teks al-Quran termasuk al-Quran elektronik dan digital yang telah diluluskan KDN untuk jualan dan edaran di Malaysia.

KDN, katanya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan al-Quran yang menyalahi akta ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian aduan 03-80008000 atau hotline 88893145, atau e-mel [email protected].

-- BERNAMA