ALOR SETAR: Pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Kedah yang menempatkan 30 mangsa banjir daripada sembilan keluarga ditutup sepenuhnya pada pukul 4 petang ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata PPS Dewan Cenderawasih dekat Pendang itu ditutup selepas dibuka pada 2 Nov lepas.

"PPS ini ditutup sepenuhnya selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut. Ini menjadikan kesemua PPS ditutup di Kedah sejak ia diaktifkan secara berperingkat bermula hujung Oktober lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, keadaan cuaca hujan setiap hari dalam tempoh hampir sebulan lepas menyebabkan penduduk dari beberapa kawasan di daerah Pendang, Kota Setar, Kubang Pasu, Baling dan Sik terjejas dengan banjir yang melibatkan hampir 900 orang dipindahkan ke PPS.

-- BERNAMA