Kebajikan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan terus dijaga dalam usaha memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa berkata kerajaan telah menyediakan beberapa kemudahan untuk membantu golongan tersebut termasuk pengecualian bayaran yuran pengajian sekiranya tidak berkemampuan melunaskannya.

"Pembayaran yuran untuk setiap bulan adalah lebih kurang RM60. Mana-mana pelajar yang menghadapi masalah kewangan boleh memohon pengecualian dan hampir semua akan dapat pengecualian itu sekiranya perlu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2018 (2019) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelasnya, komitmen kerajaan itu juga dibuktikan apabila kuota 65 peratus kemasukan baharu pada tahun ini telah diisi golongan pelajar B40.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan pada 13 Jan lepas telah memberi kelonggaran kepada pelajar daripada golongan B40 yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran pendaftaran MRSM secara ansuran atau memohon penangguhan bayaran.

Dalam perkembangan lain, Sivarasa berkata RM2.057 bilion pinjaman telah diperuntukkan kepada pelajar Bumiputera menerusi Skim Pinjaman Pelajaran yang melibatkan 56,957 pelajar pada 2018.

Sementara itu, ketika penggulungan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, menterinya Dr A Xavier Jayakumar berkata kerajaan bersetuju meneruskan pembinaan empangan pelbagai guna 'Cinta Mata Dam' di Jalan Gudang Empat, Tawau.

Menteri itu berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung projek empangan air itu yang tertakluk dalam skim bekalan air Tawau Fasa Ketiga.

"Saya minta kerjasama dari Sabah (kerajaan negeri) untuk kita teruskan dan selepas perbincangan dengan kontraktor dan juga Sabah dalam masa terdekat, kita akan buat pengumuman bahawa projek ini akan diteruskan di Tawau," katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan kesemua RUU yang dibahaskan hari ini dengan suara majoriti.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

-- BERNAMA