NIBONG TEBAL: Selepas hampir sebulan terpaksa berada di pusat pemindahan sementara (PPS), akhirnya penduduk Kampung Kebun Baru di Nibong Tebal yang terkesan dengan kes kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Ladang Byram, Nibong Tebal, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing mulai hari ini.

Mereka dibenarkan pulang berikutan cerapan terkini daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kualiti udara di sekitar kawasan kampung tersebut semakin baik.

“Berdasarkan cerapan terkini dan ulasan teknikaripada JAS Negeri Pulau Pinang, didapati kualiti udara di sekitar kawasan Kampung Kebun Baru adalah semakin baik dan penduduk-penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing mulai 7 Februari 2022,” menurut kenyataan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) hari ini.

Bagaimanapun, penduduk Ladang Byram dinasihatkan untuk tidak lagi kembali ke rumah masing-masing.

“Pemantauan akan diteruskan oleh JAS di kawasan itu sehingga bacaan kualiti udara yang stabil diperolehi,” katanya.

Pada masa yang sama , penduduk di sekitar daerah SPT juga dinasihatkan supaya terus sentiasa peka dengan kesihatan diri.

Mereka juga diingatkan agar segera  mendapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital berhampiran sekiranya mempunyai gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat.

Media sebelum ini melaporkan kebakaran seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar di tapak pelupusan sampah terbesar di negeri itu pada 12 Januari lepas.

Ekoran kejadian itu, kira-kira 400 penduduk daripada 90 keluarga yang tinggal berdekatan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain 10 buah sekolah turut ditutup selama tiga hari.

Mereka terdiri daripada 38  buah keluarga yang tinggal di Ladang Byram dan 52 buah keluarga dari Kampung Kebun Baru.

Kebakaran terbabit juga menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1.