PENGGUNAAN pelbagai sumber bahan api dan pemberian subsidi telah membolehkan rakyat Malaysia berterusan menikmati kadar tarif elektrik antara terendah di rantau Asia Tenggara sejak sekian lama, meskipun sektor tenaga sentiasa ditekan oleh pelbagai faktor luaran dan dalaman.
Begitu pun kenaikan luar jangka harga bahan api khususnya arang batu dan gas asli sejak penularan COVID-19, mewujudkan tekanan luar biasa sehingga menimbulkan tanda tanya sejauh mana daya tahan tarif elektrik negara.
Ini kerana hampir 93 peratus elektrik di Semenanjung Malaysia dijana menggunakan arang batu serta gas asli, dan pada masa ini harga arang batu dunia melonjak ke paras lebih AS$200 setan serta dijangka terus meningkat berikutan krisis Ukraine-Rusia.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), kos penjanaan elektrik termasuk kos bahan api membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas elektrik dan kenaikan harga bahan api fosil, khususnya arang batu, menyebabkan kos penjanaan elektrik negara kini meningkat 4.5 kali ganda.
Dalam kemelut ini, bagi tempoh Februari hingga Jun depan, pengguna domestik di Semenanjung masih dapat menikmati rebat dua sen bagi setiap kilowatt per jam (kWj), manakala surcaj minimum 3.7 sen/kWj dikenakan terhadap pengguna industri dan komersial. Ini dapat dilaksanakan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang membolehkan kerajaan melaraskan kos penjanaan dan bahan api setiap enam bulan.
SUBSIDI
Mengulas perkara itu, Pengarah Bahagian Kejuruteraan (Elektrik Kuasa), Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Jasrul Jamani Jamian berkata pemberian subsidi oleh kerajaan adalah antara faktor utama kadar tarif elektrik yang rendah di negara ini.
"Kalau kita lihat, kadar tarif pengguna (domestik) yang dikenakan bagi 200 kWj pertama sangat rendah iaitu RM0.218 sahaja, manakala untuk 100 kWj seterusnya ialah RM0.334. Jumlah bil bagi 300 kWj pertama ini sebenarnya bersamaan RM77. Nilai tarif ini masih sama sejak 13 tahun lepas," jelasnya kepada Bernama.
Katanya langkah kerajaan mengekalkan kadar tarif rendah untuk 300 kWj pertama itu bertujuan memastikan seluruh rakyat terus mampu menikmati bekalan tenaga elektrik yang merupakan keperluan asas.
Selain itu katanya pengguna domestik di negara ini juga tidak dikenakan caj bagi angkadar kuasa atau power factor, yang mana di sesetengah negara pengguna dikenakan penalti sekiranya indeks angkadar kuasa rendah, menunjukkan tahap penggunaan elektrik tidak cekap.
(Angkadar kuasa adalah indeks yang digunakan untuk mengukur tahap kecekapan penggunaan tenaga elektrik yang diukur dalam julat sifar hingga satu. Indeks angkadar kuasa yang tinggi (contoh: lebih daripada 0.85) menunjukkan tahap penggunaan tenaga elektrik yang cekap. Sebaliknya, indeks angkadar kuasa yang rendah (contoh: kurang daripada 0.85) menunjukkan tahap penggunaan tenaga elektrik tidak cekap. Ini bermakna semakin tinggi angkadar kuasa semakin jimat bil elektrik)
CEKAP TENAGA
Dalam pada itu, Jasrul Jamani berkata disebabkan 65 peratus daripada kos operasi adalah kos bahan api, sebarang perubahan membabitkan sumber akan mempengaruhi kos penjanaan tenaga.
"Elektrik di Malaysia banyak dijana menggunakan arang batu dan gas asli dengan kebanyakan arang batu kita import dari luar negara. Setakat ini hampir 63 peratus arang batu untuk kegunaan penjanaan elektrik negara adalah dari Indonesia.
"Namun baru-baru ini Indonesia menghentikan sementara eksport sumber itu bagi memenuhi permintaan domestiknya, dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kesinambungan bekalan elektrik negara kita," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata langkah proaktif perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi mendepani sebarang krisis sumber bahan bakar pada masa akan datang agar pengguna tidak terbeban dengan peningkatan kos bekalan elektrik.
Pada masa sama, beliau berkata langkah terbaik untuk menurunkan bil elektrik ialah dengan meningkatkan kecekapan guna tenaga yang turut mengurangkan kadar kehilangan tenaga elektrik.
"Perkara ini terguna pakai kepada kedua-dua pihak, iaitu utiliti dan pengguna. Kita tidak mampu mengawal harga pasaran bahan api, namun kita mampu mengawal serta memastikan penggunaan elektrik kita pada tahap terbaik supaya keseluruhan kos akan berkurang.
"(Contohnya) Peralatan yang telah diberi penarafan lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) adalah antara alat yang mempunyai kecekapan yang tinggi dan sesuai digunakan kerana mampu menjimatkan bil elektrik pengguna," katanya.
Ujarnya, banyak pihak berpendapat penggunaan tenaga boleh baharu seperti tenaga solar atau fotovoltan (PV) adalah alternatif terbaik dalam menjimatkan elektrik, namun beliau berpandangan rumusan itu kurang tepat.
"Sekiranya sistem kita belum beroperasi pada tahap berkecekapan tinggi, sebahagian daripada sumber bekalan boleh baharu akan digunakan untuk 'top-up' kehilangan tenaga dan tidak sepenuhnya untuk pengurangan bil elektrik," hujah beliau.
PERKASA PENGGUNAAN GET
Selain itu, Jasrul Jamani turut berpendapat Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2022 boleh menjadi antara inisiatif bagi mengurangkan kebergantungan pada stesen jana kuasa tradisional.
Stesen jana kuasa arang batu dan gas asli akan menghasilkan kesan rumah hijau melalui pembebasan gas karbon dioksida yang sangat ketara jika dibandingkan dengan stesen jana kuasa nuklear, tenaga hidro ataupun tenaga daripada PV. Namun, kos keseluruhan bagi penghasilan tenaga elektrik atau Levelized Cost of Electricity (LCOE) untuk sumber tenaga boleh baharu ini adalah lebih mahal.
"Oleh itu, menerusi GET, pengguna domestik dan bukan domestik dapat menunjukkan sokongan melalui persetujuan dikenakan caj tambahan sebanyak 3.7 sen bagi setiap kWj yang digunakan daripada tarif sedia ada.
"Persetujuan caj tambahan ini akan menunjukkan bahawa pengguna menyokong penggunaan tenaga elektrik daripada tenaga boleh baharu dan secara tidak langsung menggalakkan pengurangan kesan rumah hijau. Setakat ini, kuota untuk GET bagi domestik ialah 100 kWj dan bukan domestik 1000 kWj," ujarnya, menambah skim GET sudah banyak dilaksanakan di negara maju.
SEGERAKAN PEMASANGAN PV
Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Ts Anuar Shah Bali Mahomed pula berpandangan sudah tiba masa untuk kerajaan memanfaatkan tenaga boleh baharu seperti tenaga solar bagi mengekalkan kadar tarif elektrik selain sebagai langkah proaktif dalam menangani sebarang krisis bahan bakar pada masa akan datang.
"Benar, kita akui kos pemasangan sistem panel solar memang agak mahal iaitu boleh mencecah sekitar RM25,000 bagi satu rumah. Namun kerajaan boleh mulakan inisiatif ini dengan membuat pemasangan panel ini di setiap rumah yang bersesuaian dan bayaran kosnya boleh dibuat secara ansuran bagi tempoh 10 tahun, iaitu sebanyak RM208 sebulan.
"Sebagai contoh, jika sebelum ini bil elektrik bulanan sesebuah rumah boleh mencecah RM500. Namun dengan pemasangan panel solar ini mereka boleh nikmati anggaran sekitar 40 peratus penjimatan elektrik, bermakna mereka cuma perlu bayar sekitar RM300 bil elektrik ditambah RM208 bayaran ansuran panel solar, maka jumlah keseluruhan bayaran cuma sekitar RM508 sebulan (hampir menyamai kos bil elektrik semasa).
"Pada masa sama, selepas mereka selesai membayar kos keseluruhan pemasangan panel solar terbabit, mereka akan dapat terus menggunakannya bagi menjimatkan bil elektrik bulanan mereka dengan lebih efektif," katanya, menambah jika berjaya, inisiatif itu boleh diperluas kepada perusahaan kecil dan sederhana pada masa akan datang.
Beliau memetik contoh kerjasama strategik TNB dan UPM baru-baru ini bagi melaksanakan pemasangan sistem panel solar berkapasiti 16.18 megawatt peak (MWp) di 16 lokasi sekitar universiti itu.
"Kerjasama ini bakal menyaksikan penjimatan bil elektrik RM114 juta selama 25 tahun. Menerusi kerjasama sebegini, kita anggarkan perkara sama juga boleh berlaku kepada isi rumah, yang mana bil elektrik akan turun secara signifikan dan memberikan kesan positif dalam jangka panjang," ujarnya.
Selain itu katanya teknologi PV boleh diperluas kepada sektor pertanian dan pemakanan seperti yang dilaksanakan oleh UPM menerusi projek agrivoltaic, membabitkan penanaman 25,000 pokok herba misai kucing di bawah panel solar.
Annuar Shah turut menyarankan kerajaan menimbang menaikkan kadar tarif elektrik bagi industri yang memperoleh keuntungan luar biasa daripada krisis kesihatan dan bencana alam.
Ini bagi mengimbangi rebat yang boleh diberikan kepada golongan B40 serta M40 dan tekanan kenaikan harga bahan bakar seperti arang batu, katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Thu May 19 2022
Kos pemasangan sistem panel solar memang agak mahal iaitu boleh mencecah sekitar RM25,000 bagi satu rumah. - Gambar hiasan
Freedom Flotilla to Gaza: Guinea-Bissau akur kepada Israel, tidak beri kebenaran guna bendera bagi misi pelayaran
Kerajaan Republik Guinea-Bissau dilaporkan tunduk dan akur kepada gesaan Israel untuk tidak membenarkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza menggunakan bendera mereka.
Penyakit berkaitan haba dikhuatiri meningkat di Gaza
Penularan penyakit berkaitan haba panas menjadi kebimbangan terbaharu di Gaza selepas suhu luar jangka melampau melanda wilayah itu setiap hari. Ia sudah semestinya diburukkan lagi dengan kekurangan air bersih dan ketiadaan sistem pembuangan sisa pepejal yang sepatutnya wujud di sesebuah kawasan didiami manusia.
Ilhan Omar melawat peserta tunjuk perasaan
Wakil Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Ilhan Omar mengadakan lawatan di kampus penyokong Pro Palestin di Universiti Columbia New York pada Khamis.
Dua lelaki didakwa jadi 'tali barut' kepada China
Dua lelaki yang mana salah seorangnya pernah bertugas di Parlimen United Kingdom (UK) enjalani proses perbicaraan di mahkamah London pada Jumaat selepas didakwa menjadi tali barut menyalurkan maklumat sulit kerajaan kepada negara tembok besar itu.
Polis serbu pejabat 'Save the Children' di Guatemala
Polis Guatemala melakukan serbuan mengejut ke atas pejabat-pejabat Pertubuhan Save the Children di pelbagai lokasi di negara itu. Ia bagi mencari bukti dakwaan pertubuhan yang memperjuangkan kebajikan kanak-kanak itu, terlibat dalam jenayah penderaan terhadap golongan itu.
LIMA '25 dianjurkan pada 20-24 Mei tahun depan
Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA ‘25) akan dianjurkan pada 20 hingga 24 Mei tahun depan bertemakan Innovate Today, Thrive Tomorrow.
Malaysia komited tingkat hubungan dua hala bersama Libya
Malaysia terus komited mempertingkatkan hubungan dua hala yang berterusan bersama Libya demi manfaat bersama dalam pelbagai sektor.
Demi rakyat, Zahid-Muhyiddin henti saman fitnah
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersepakat untuk menamatkan pertikaian peribadi antara mereka.
Sultan Selangor berangkat ke Majlis Bacaan Yassin di Pangkalan TLDM
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenan berangkat ke Pangkalan TLDM Lumut di Perak bagi menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas sempena Sambutan Hari TLDM ke-90.
PM Anwar pulangkan elaun Pengerusi Khazanah
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau memulangkan elaun sebagai pengerusi Khazanah Nasional Berhad yang diterimanya dan sekali lagi menegaskan tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sejak November 2022.
Penggunaan tenaga secara cekap kurangkan pembebasan gas rumah hijau - SEDA
Amalan penggunaan tenaga dengan cekap adalah paling utama untuk memastikan kelestarian alam.
Hanya empat hospital beroperasi pada tahap minimum di utara Gaza - WHO
Hospital Al-Ahli Arab kini beroperasi separuh daripada perkhidmatan sebelumnya berikutan kekurangan bahan api, kakitangan dan bekalan.
Subsidi negara dijangka cecah RM81 bilion tahun ini - PM Anwar
Subsidi dikeluarkan kerajaan untuk rakyat di seluruh negara termasuk elektrik, minyak dan makanan dijangka mencecah RM81 bilion tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelaksanaan subsidi bersasar dorong pengguna beralih kepada tenaga suria
Seorang pengguna berkata bahawa dengan penggunaan tenaga suria, bil elektrik bukan lagi satu isu buatnya.
SESB berusaha bersama semua pihak selesai masalah elektrik Sabah - Pengerusi
Masalah bekalan eletrik di Sabah sangat besar dan mencabar, dan penyelesaiannya terletak di bahu banyak pihak.
Kelulusan dua RUU inisiatif terbaik atasi krisis elektrik di Sabah
Dengan perkembangan itu, kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu diserahkan kepada Sabah.
DUN Sabah: Enakmen bekalan tenaga elektrik dibentang sebelum hujung tahun ini
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Enakmen bekalan tenaga elektrik di Sabah akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum hujung tahun ini.
Cuaca panas: Catuan bekalan elektrik di Sabah akibat permintaan tinggi
Catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di beberapa daerah secara bergilir-gilir bertujuan menstabilkan sistem grid elektrik negeri.
Polis rampas 36 mesin bitcoin, premis buat sambungan elektrik haram
Polis menyerbu sebuah premis di sekitar Sitiawan dekat sini semalam yang disyaki membuat penyambungan haram bekalan elektrik dan menjalankan aktiviti perlombongan mesin bitcoin.
60 peratus punca kebakaran disebabkan eletrik - Bomba
Angka itu merupakan yang tertinggi sejak 2018, melibatkan 804 kedai, 408 kilang, 263 kemudahan penyimpanan, 200 pejabat dan lain-lain.