YAN: Kerajaan negeri Kedah berharap Pulau Langkawi akan dibuka untuk gelembung pelancongan bermula 16 Sept ini bersempena sambutan Hari Malaysia.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu sudah dibincang dengan Lembaga Pembangunan Langkawi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Majlis Keselamatan Negara.

Bagaimanapun, beliau berkata pembukaan Langkawi tertakluk kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Kedah berhubung status risiko dan bilangan kes semasa COVID-19 di pulau pelancongan berkenaan.

"Masalah sekarang kita nak kes harian turun bawah daripada 10 kes barulah boleh buka (Langkawi)," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Bencana Yan Perikatan Nasional di Kampung Acheh di sini hari ini.

Beliau berkata segala perancangan telah diatur bagi melancarkan operasi gelembung pelancongan di pulau berkenaan antaranya dengan menyediakan empat perjalanan feri dari Jeti Kuala Kedah dan enam perjalanan dari Jeti Kuala Perlis setiap hari.

"Kita juga sudah tentukan akan menyediakan 10 penerbangan ke Langkawi. Kita memang dah aturkan semua, tinggal masa (untuk dibuka) sahaja lagi," katanya.

Sementara itu, mengenai kerja-kerja pemulihan infrastruktur terutama melibatkan sektor pelancongan desa di Yan yang terjejas akibat banjir lumpur 18 Ogos lepas, beliau berkata pihaknya masih dalam proses membuat penilaian.

"Banyak struktur yang rosak tak boleh dibaik pulih contohnya chalet dekat sungai, sebelum nak bagi pampasan kena tentukan tanah ada geran, dapat kebenaran dan kelulusan Majlis Daerah Yan atau tidak.

"Perkara ini penting untuk keselamatan bukan nak sekat (perniagaan) orang," katanya yang memaklumkan terdapat 14 pengusaha chalet terjejas dalam tragedi yang turut mengorbankan enam nyawa itu.

-- BERNAMA