SUNGAI PETANI: Kedah menyasarkan untuk menurunkan kadar kemalangan maut di bawah 40 peratus pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kedah Datuk Azman Nasrudin berkata bagi mencapai sasaran itu, tujuh strategi penguatkuasaan diperkenalkan, yang akan dilaksanakan pada musim perayaan khususnya Tahun Baharu Cina ini.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah berkata penguatkuasaan akan dilakukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama agensi lain yang berkaitan.

"Strategi tersebut ialah pemeriksaan ke atas bas di depoh serta terminal, melaksanakan rondaan berkala di lebuh raya dan jalan utama yang dikenal pasti sebagai 'black spot', penguatkuasaan undang-undang motosikal dan penyamaran anggota JPJ sebagai penumpang pengangkutan awam.

"Selain itu, rakaman video di lebuh raya dengan menggunakan kamera kenderaan penguat kuasa turut dilakukan selain menerima aduan awam dan mengadakan ceramah keselamatan jalan raya di jabatan dan agensi kerajaan serta di institusi pengajian tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Op Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2023 di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengarah JPJ Kedah Aman Shah Hashim serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Supt Mohd Mahiri Hussain.

Azman berkata operasi bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar juga akan terus dipergiat bagi mengesan pemandu yang menyalahi undang-undang.

Sementara itu, di Alor Setar, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Alor Setar ke Kangar (Jalan Putra) dan Jalan Alor Setar ke Kuala Kedah dikenal pasti sebagai 'hotspot' sering berlaku kemalangan maut serta kesesakan jalan raya khususnya ketika musim perayaan.

"Kita menjangkakan jumlah kenderaan yang masuk ke Kota Setar bertambah esok berikutan cuti hujung minggu yang panjang sempena Tahun Baharu Cina, jadi semua anggota trafik akan ditempatkan di lokasi-lokasi penting yang telah dikenal pasti," katanya selepas program Op Selamat Ibu Pejabat Polis Kota Setar di sini.

Ahmad Shukri berkata polis juga akan mengadakan rondaan di premis-premis perniagaan khususnya premis menjual barangan kemas yang mungkin menjadi sasaran penjenayah ketika musim perayaan ini.

-- BERNAMA