Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Singapura berazam untuk menjalin kerjasama rapat dengan rakan sejawatan baharu mereka dari Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura pada Selasa, Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam berkata kerjasama dua hala antara Singapura dan Malaysia kini berada dalam keadaan kukuh.

Kedua-dua mereka menghubungi Dr Wan Azizah melalui telefon bagi mengucapkan tahniah setelah beliau dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Kemenangan besar Pakatan Harapan dalam pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini menyaksikan Malaysia buat julung kalinya mempunyai seorang wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dr Wan Azizah, 66, dinamakan sebagai penyandang jawatan itu pada Sabtu.

Teo dan Tharman juga mengutuskan surat tahniah kepada Dr Wan Azizah.

"Setinggi-tinggi tahniah daripada saya atas pelantikan anda sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan atas kemenangan besarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 serta kemenangan anda bagi kerusi Pandan," kata Teo dalam surat berkenaan yang salinannya dihantar kepada Bernama di sini.

Teo, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, berkata Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan kukuh sejak sekian lama, yang dibina berasaskan semangat saling mempercayai dan dan hormat-menghormati.

"Kita mempunyai hubungan kerja yang baik serta sering berinteraksi di semua peringkat, termasuk di peringkat paling tinggi, melalui peringkat menteri dan pegawai. Kita bekerjasama rapat dalam bidang ekonomi, sosial dan keselamatan," katanya.

Menurut Teo, beliau tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan Dr Wan Azizah dan pasukan beliau bagi mengukuhkan dan meluaskan lagi kerjasama melalui forum dua hala dan pelbagai hala, demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

"Tahniah atas pelantikan baharu anda sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 serta kemenangan besar anda di Pandan. Kepimpinan kukuh anda sebagai Presiden Pakatan Harapan dan sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat adalah penting dalam memperoleh kemenangan itu," kata Tharman.

Tharman, yang juga Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi dan Sosial, berkata Singapura dan Malaysia merupakan jiran serta rakan rapat.

"Kita mempunyai hubungan kukuh di pelbagai peringkat sejak sekian lama. Kita juga menjalin kerjasama dalam pelbagai sektor, daripada perdagangan dan pelaburan, hinggalah kepada pertahanan dan pelancongan.

"Di samping itu, kita bekerjasama rapat di forum serantau dan antarabangsa seperti ASEAN, WTO, APEC dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Kerjasama Trans-Pasifik.

"Saya tidak sabar untuk meneruskan kerjasama positif antara Singapura dan Malaysia itu," katanya.

Kedua-dua timbalan perdana menteri itu juga mendoakan agar Dr Wan Azizah dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa sihat dan menyatakan mereka amat teruja untuk bertemu pasangan suami isteri itu.

-- BERNAMA