MALAYSIA
Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia jalin kerjasama antirasuah dengan SPRM

Ahmad Nizam (tiga dari kanan) sewaktu melakukan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin (tengah) di Jakarta pada Selasa. - Foto Facebook/SPRM
PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan program pendidikan antirasuah melibatkan pegawai dan pelajar Malaysia di republik itu.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata SPRM menyambut baik hasrat itu dan memberikan komitmen jitu bagi menjayakan program berkenaan.
"Antara program dirancang seperti Ceramah lntegriti dan lkrar Bebas Rasuah (lBR) serta Seminar lntegriti Pengurusan Dana Awam Dalam Pengurusan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di lndonesia (PKPMI) bersempena Hari lntegriti Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Tahun 2025 yang akan diadakan pada September ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin di Jakarta pada Selasa."Pertemuan ini menjadi platform terbaik kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan maklum balas kepada permohonan program oleh Menteri Kedutaan (Pendidikan), Education Malaysia Indonesia (EMI), Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Hasnul Faizal Hushin Amri," katanya.
Sementara itu, Syed Mohamad Hasrin berkata pihaknya sentiasa komited untuk memupuk budaya kerja berintegriti, telus dan bertanggungjawab dalam kalangan pegawai dan warga agensi kerajaan Malaysia yang beroperasi di bawah naungan kedutaan.
"Penganjuran Hari lntegriti Tahun 2025 adalah sejajar dengan aspirasi nasional serta Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menekankan keperluan pembudayaan integriti di setiap lapisan pentadbiran awam termasuk di luar negara serta persatuan pelajar Malaysia di luar negara," katanya.
Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Timbalan Pengarah PenMas SPRM Samsul Salip serta Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Farzamie Sarkawi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami