KUALA LUMPUR: Kehadiran pekerja sektor swasta ke pejabat bagi kumpulan pengurusan dan operasi atau sokongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan pada tahap 100 peratus.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu akan berkuat kuasa bermula 1 April 2021.

"Bagi perkhidmatan awam, ia adalah berdasarkan kepada pekeliling atau arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Arahan ini berkuatkuasa 1 April 2021 dan maklumat lanjut berkenaan SOP boleh dirujuk di laman sesawang MKN," katanya dalam sidang media harian, hari ini.


PKPB | Kapasiti 100 peratus dibenarkan kepada sektor swasta

Sementara itu, syarat pematuhan 30 peratus bekerja dari rumah bagi pihak pengurusan dan penyelia sesebuah syarikat dibatalkan atas beberapa justifikasi.

"Arahan bekerja dari rumah yang dikeluarkan kepada syarikat perkilangan adalah sukar dilaksanakan kerana operasi tidak dapat dilakukan secara remotely.

"Operasi pengilangan sering melibatkan proses kompleks dan teknikal dengan kehadiran pasukan berbeza yang terdiri daripada kakitangan pengurusan dan penyelia.

"Pada masa yang sama, mereka dikehendaki bekerja secara serentak.

"Pembatalan syarat ini akan memberi peluang kepada syarikat untuk beroperasi pada tahap yang maksimum," ujarnya.