PONTIAN: Kehilangan atau kerugian wang awam sebanyak RM681.71juta berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, merugikan rakyat selain menimbulkan persoalan kerana ketirisan berlaku setiap tahun.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, LKAN yang dibentangkan itu menjadi iktibar kepada Kerajaan Perpaduan untuk memastikan ketirisan yang berlaku tidak berulang.

"Kementerian Kewangan (MOF) kesal dengan RM687.71 juta yang dilaporkan hilang itu. MOF susah hendak cari duit, tetapi jika sudah bocor atau hilang, ia merugikan rakyat.

"Kerajaan perlu kurangkan ketirisan ini tahun demi tahun. Isu ketirisan ini tidak sepatutnya berlaku kerana jabatan tidak berubah. Kita ambil ingatan supaya tidak berlaku lagi pada tahun akan datang khususnya pada tahun ini kerana sekarang merupakan Kerajaan Madani," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Kesedaran Jantung di Dewan Muafakat di Benut pada Sabtu.

Pada Rabu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan sebanyak RM681.71 juta kehilangan atau kerugian wang awam membabitkan enam program kerajaan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata dapatan itu diperoleh hasil 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian melalui LKAN 2022.

Kerugian itu dikesan membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tambah Ahmad, berdasarkan laporan LKAN 2022, semua 26 kementerian perlu mengambil ingatan bagi perbelanjaan tahun ini di bawah Kerajaan Perpaduan supaya perkara sama tidak berulang.

“Diharap dengan teguran ini dapat membantu semua pihak melaksanakan perbelanjaan masing-masing mengikut peraturan kewangan bagi mengelakkan sebarang kebocoran atau ketirisan,” jelasnya. - Sinar Harian