Skip to main content

Malaysia

Kejayaan urus isu kewarganegaraan antara pencapaian paling memuaskan di KDN – Saifuddin

BATU PAHAT, 9 Jun -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Program Citra Negara MDN Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Program Citra Negara MDN Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat hari ini. - Foto Bernama

BATU PAHAT: Kejayaan mengurangkan lambakan permohonan kewarganegaraan tertunggak daripada hampir 50,000 kepada kira-kira 2,000 kes dalam tempoh tiga tahun merupakan antara pencapaian yang paling memberi kepuasan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika mula memegang portfolio berkenaan, terdapat puluhan ribu permohonan kewarganegaraan yang tertangguh selama bertahun-tahun tanpa keputusan, sekali gus menuntut tindakan menyeluruh bagi mempercepat proses penyelesaiannya.

Saifuddin Nasution berkata pada masa sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini berada pada peringkat akhir untuk melaksanakan pindaan berkaitan kewarganegaraan yang telah diluluskan Parlimen sebelum ini.

“Saya menetapkan hala tuju yang jelas bersama pegawai kementerian. Jika perlu pindaan undang-undang di Parlimen, kita laksanakan. Jika perlu penambahbaikan kaedah berkaitan kewarganegaraan, kita buat. Jika perlu dialog dengan semua pihak berkepentingan, kita adakan.

“Hasilnya, jumlah permohonan tertunggak yang sebelum ini hampir 50,000, kini tinggal sekitar 2,000 dan saya yakin baki itu dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kerajaan pindaan berhubung kewarganegaraan itu, turut memberi manfaat besar kepada wanita rakyat negara ini yang berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara.

Beliau berkata sebelum pindaan tersebut, anak yang dilahirkan di luar negara perlu melalui proses permohonan pendaftaran untuk mendapatkan status warganegara Malaysia.

“Selepas pindaan ini berkuat kuasa, anak yang lahir di luar negara yang ibunya rakyat Malaysia akan memperoleh kewarganegaraan secara automatik mengikut kuat kuasa undang-undang.

“Ini memberi kesan yang sangat besar kepada ibu-ibu rakyat Malaysia, kerana mereka tidak lagi perlu berdepan proses yang panjang atau mendapatkan perintah mahkamah bagi menentukan status kewarganegaraan anak,” katanya.

Beliau berkata KDN telah melengkapkan segala persiapan bagi pelaksanaan dasar baharu itu termasuk penyediaan sistem permohonan dan pemakluman secara dalam talian, selain memperkukuh kesiapsiagaan perwakilan Malaysia di luar negara.

Saifuddin Nasution tarikh pelaksanaan rasmi dasar berkenaan akan diumumkan selepas proses pemuktamadan selesai.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement