PUTRAJAYA: Kerajaan perlu memanfaatkan kekuatan yang sedia ada dalam usaha untuk memulihkan semula ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan.

“Tumpuan Kerajaan Perpaduan sekarang adalah untuk mencari segala usaha untuk pastikan ada keyakinan terhadap negara kerana kestabilan politik, tadbir urus, dan tatakelola yang lebih baik dan bersih daripada rasuah.

"Tentunya tahun depan beberapa negara luar akan hadir lihat sendiri perkembangan di Malaysia," kata Anwar sewaktu menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 menerusi program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Majid Putra pada Sabtu.

Tambahnya lagi, negara juga memerlukan tumpuan yang baharu dalam memastikan kedudukan Malaysia mampu dipacu seperti sebelum ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kecemerlangan ekonomi negara sebelum ini adalah berdasarkan pelaburan yang diterima sama ada dari domestik mahupun luar negara.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha untuk mewujudkan keyakinan pelabur juga adalah memastikan bahawa negara ini bukan lubuk bagi golongan pemimpin untuk menggondol kekayaan.

Sebaliknya, ia untuk mewujudkan barisan pemimpin yang berkhidmat dengan telus untuk menjamin soal kestabilan ekonomi tanpa mempunyai sebarangan kepentingan tertentu.