GEORGE TOWN: Kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di beberapa kawasan di Pulau Pinang khususnya di Daerah Timur Laut disebabkan penutupan sementara operasi kilang pembungkusan bahan tersebut di negeri itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, penutupan selama seminggu dibuat berikutan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja di kilang berkenaan, sekali gus mengganggu bekalan di pasaran.

Bagaimanapun katanya, masalah kekurangan bekalan berkenaan sudah pulih sejak semalam.

Menurut Redzuan, pengilang berkenaan dipertanggungjawabkan membungkus semula minyak masak bersubsidi di daerah Timur Laut di mana mereka membekalkan sebanyak 150 tan sebulan.


Minyak Masak | Peniaga akui sukar dapat bekalan

"Tiga wakil di daerah Timur Laut dilantik bagi operasi pembungkusan semula minyak masak paket bersubsidi itu dan peruncit sudah mula menerima bekalan minyak masak mulai minggu ini.

"Kuota minyak masak bersubsidi bagi Pulau Pinang ialah 3.434 juta kilogram sebulan dan ia dibungkus semula oleh 25 wakil syarikat yang dilantik di negeri ini," katanya selepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan Deepavali 2021 peringkat Pulau Pinang di Pasar Chowrasta, di sini, pada Selasa.

Sebanyak 11 barang disenaraikan dalam senarai harga terkawal bagi tempoh 1 hingga 7 November ini sempena sambutan Deepavali Khamis ini.

Media sebelum ini melaporkan aduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa bekalan minyak masak paket bersubsidi berkurangan sejak seminggu lalu.

Peniaga kedai runcit mendakwa mereka tiada bekalan stok dan belum dihantar pembekal menjelang perayaan Deepavali.

Masalah sama juga dilaporkan berlaku di beberapa kedai runcit di sekitar kawasan  Seberang Perai Utara di mana kebanyakan kedai kehabisan stok minyak masak paket.