KUALA LUMPUR: Gagasan Belia mengalu-alukan usaha kerajaan bagi mengurangkan perokok baru di Malaysia, namun mendakwa, terdapat kelompongan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, RUU baharu ini yang disifatkan sebagai 'tidak masuk akal' akan menyebabkan kemudaratan kepada masyarakat sejagat sekiranya diterima dalam bentuknya yang sedia ada.

"Kami percaya bahawa RUU Dasar Generasi Penamat (GEG) menghadapi beberapa permasalahan besar dari segi hak asasi dan Perlembagaan Persekutuan yang sehingga kini belum dijelaskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Gagasan Belia menggesa supaya pihak KKM serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Kesihatan mengeluarkan laporan menyeluruh tentang isu keperlembagaan RUU GEG.

RUU tersebut dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Parlimen esok oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

NGO itu berkata, tidak salah jika RUU GEG itu didahului dengan satu RUU Pindaan Perlembagaan, daripada tergesa-gesa meluluskan RUU yang pasti diputuskan sebagai bercanggah dengan perlembagaan di mahkamah.

"KKM harus juga mengambil maklum pendapat dari pakar-pakar perlembagaan terutamanya daripada Majlis Peguam Malaysia dan meminda RUU GEG dengan sewajarnya sebelum dibentangkan semula di Dewan Rakyat.

"Kami menggesa supaya laporan keperlembagaan RUU GEG yang digubal oleh KKM dan PSSC Kesihatan diterbitkan secara berleluasa supaya pakar-pakar dan orang awam dapat menilai RUU GEG ini," tambahnya.

Gagasan itu juga mendakwa, RUU yang dicadangkan merupakan pelanggaran hak asasi yang amat ketara "kerana memberikan kuasa kepada pihak kerajaan untuk mendakwa sesetengah rakyat berdasarkan perbezaan tarikh lahir mereka semata-mata."

Bagi mereka, percanggahan RUU ini dengan Perkara 8 Perlembagaan bakal menyebabkan masalah penghakiman jika dibuat secara tergesa-gesa.

Menurut gabungan itu lagi, RUU berkenaan juga bakal mengenakan hukuman dan denda yang amat tinggi terhadap perokok dan mereka yang memiliki produk rokok dan vape.

Ini, kata mereka, akan memberikan kesan kepada golongan berpendapatan rendah. 

Gagasan Belia merupakan sebahagian daripada 'CSO Platform for Reform', gabungan 102 badan masyarakat madani yang memberi tumpuan terhadap perubahan institusi.