MALAYSIA
Kemalangan bas UPSI: Pemandu bas ada 18 saman, 13 daripadanya kesalahan pandu laju - Polis

Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik. Gambar kecil: Mohd Yusri Hassan Basri
KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada Isnin.
Ringkasan AI
- Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut pelajar UPSI mempunyai 18 saman trafik terdahulu, termasuk 13 saman kerana memandu laju, manakala bas itu sendiri mempunyai 21 saman, lima daripadanya masih dalam siasatan.
- PDRM akan menubuhkan pasukan petugas khas bersama agensi berkaitan untuk menyiasat kemalangan secara menyeluruh, termasuk latar belakang dan rekod pemandu.
- Dalam kejadian tragis itu, 15 pelajar UPSI maut dan tujuh cedera parah selepas bas yang mereka naiki hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
"Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.
"Bagaimanapun 16 rekod saman ke atas bas terbabit sudah dijatuh hukum, manakala baki lima saman masih dalam siasatan," katanya pada Selasa.
Sinar Harian melaporkan PDRM akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas pelajar UPSI tersebut.
Mohd Yusri dilaporkan berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.
"Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu bas terbabit di mahkamah.
"Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod kesalahan, latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini secara sepenuhnya," ujarnya.
Dalam kejadian tragis pada Isnin, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala tujuh mengalami cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan jam 1.15 pagi.
Bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu dipercayai hilang kawalan, sebelum melanggar belakang kenderaan jenis Perodua Alza. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami