Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kemalangan feri: 18 mangsa cedera ringan terima rawatan di HSJ

Sumber: FB Info Kemalangan & Bencana Malaysia
Kesemua mangsa yang mendapatkan rawatan di HSJ telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Zon Hijau hospital berkenaan. - Foto Facebook/Info Kemalangan & Bencana Malaysia
Advertisement

SEBERANG JAYA: Seramai 18 penumpang yang terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah feri dan kapal kargo di Pulau Pinang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat kecederaan ringan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi, berkata tiada mangsa yang perlu dimasukkan ke wad kerana semua hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata kesemua mangsa yang mendapatkan rawatan di HSJ telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Zon Hijau hospital berkenaan pada malam tadi.

Menurutnya, 11 mangsa dibawa ke HSJ menggunakan ambulans, manakala 10 lagi yang pada awalnya memaklumkan akan mendapatkan rawatan sendiri di hospital itu.

“Bagaimanapun, hanya tujuh daripada 10 mangsa terbabit hadir untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kesemua 18 mangsa yang hadir ke Jabatan Kecemasan HSJ mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut di wad.

Setakat ini, katanya, tiada kes lain berkaitan insiden berkenaan dilaporkan mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan lain.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 21 daripada 140 penumpang cedera selepas Feri Teluk Bahang dan kapal kargo MV Mekar Jaya terbabit dalam kemalangan di kawasan had Pelabuhan Pulau Pinang.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.40 malam ketika MV Mekar Jaya dalam perjalanan dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), George Town.

Dalam kejadian itu, kapal berkenaan dilaporkan berlanggar dengan feri yang sedang menuju ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).

Feri terbabit membawa 140 penumpang yang terdiri daripada 92 pejalan kaki dan 48 kenderaan, termasuk sebuah basikal.

 

 

Must Watch Video

Advertisement