KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengambil keterangan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan Mohd Shukri berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi.

“Ya, dia (diambil keterangan) di SPRM pukul 10 lebih tadi,” jawabnya ringkas.

Ketika disoal sama ada individu atau pemimpin lain yang terlibat dalam kes ini, Azam enggan mengulas lebih lanjut.

Menurut beliau, Mohd Shukri diambil keterangan di ibu pejabat agensi antirasuah itu selepas hadir untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang berlangsung ke atas anak lelakinya.

Tambah Azam, Mohd Shukri disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Minggu lalu, SPRM menahan anak lelaki Mohd Shukri serta lima yang lain bagi membantu siasatan berkaitan penyerahan dokumen palsu dan tuntutan membabitkan RM600,000 sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, menurut pentadbir akaun Facebook rasmi menteri besar itu dalam satu hantaran sebentar tadi, SPRM tidak menahan reman Mohd Shukri.

"MB tidak direman. Telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan," katanya.

Mohd Shukri pula dalam kemas kini terbaharu berkata, beliau selesai memberi keterangan kepada SPRM dan secara tidak langsung menggambarkan tidak ditahan oleh agensi terbabit.

"Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Insya-Allah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda," katanya.