DAP memaklumkan calonnya, Dyana Sofya Mohd Daud mempunyai 85 peratus peluang untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan, hanya jika undian tersebut dibuat di Internet.

Penasihat parti DAP, Lim Kit Siang berkata beliau amat yakin sekiranya PRK tersebut ditentukan oleh pengamal media sosial atau pengguna internet, Dyana pastinya akan menang.

"Bagaimanapun, pilihan raya kecil Teluk Intan pada 31 Mei nanti tidak ditentukan oleh warga internet, sebaliknya ia ditentukan oleh 60,000 pengundi Teluk Intan, sebahagian besarnya bukan pengguna internet," kata Lim dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sambil menyifatkan peluang Dyana untuk mengalahkan lawannya, iaitu presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, hanya lah 40 hingga 60 peratus, Lim akui masih perlukan bantuan pengguna internet bagi memenangi PRK tersebut.

"Saya ingin menghantar 'SOS' kepada warga internet di Malaysia supaya tampil membantu pilihan raya Teluk Intan ini dengan apa jua cara kerana Dyana Sofya mampu menang jika undian dilakukan di media sosial," katanya.

Jelas Lim, PRK Teluk Intan merupakan pertandingan di antara masa hadapan dan masa lampau; antara harapan dan kekecewaan; antara politik baru melibatkan rakyat Malaysia dan politik perkauman yang lapuk.

"Kita percaya bahawa 57 tahun selepas Merdeka, tiba masanya untuk rakyat Malaysia bergerak ke hadapan melangkaui politik di mana Cina menyokong Cina, Melayu menyokong Melayu dan India menyokong India," kata Lim.

Lim turut menggesa pengundi membawa politik ke tahap yang lebih tinggi dengan menyokong wakil rakyat yang sedia memperjuangkan isu-isu berkaitan kebebasan, keadilan, undang-undang dan pentadbiran yang baik.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Penamaan calon ditetapkan Isnin ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei ini.